5.Buletin

INFO PENDIDIKAN (SESI PENATARAN GURU)

1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ( PPPM.pdf ) ( Portal Pendidikan )

2. Progam Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB /CPD) 15.01.2015

 

KENALI ASEAN

ASEAN ditubuhkan oleh 5 negara pengasas; Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand di Bangkok semasa proses penandatanganan satu perjanjian yang dikenali sebagai Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967. Seterusnya Brunei Darussalam menganggotai ASEAN pada 8 Januari 1984, Viet Nam pada 28 Julai 1995, Lao PDR dan Myanmar pada 23 Julai 1997 dan Kemboja pada 30 April 1999. Pengisytiharan ASEAN mengikat Negara yang menandatanganinya untuk bekerjasama bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial, pembangunan kebudayaan, serta keamanan dan stabiliti serantau.

Piagam ASEAN

ASEAN secara asasnya berpegang kepada prinsip-prinsip sepertimana yang telah tertakluk di dalam Piagam ASEAN. Satu Pasukan Petugas Peringkat Tinggi telah menggubal Piagam ini hasil daripada syor Kumpulan Tokoh Terkemuka. Pemimpin ASEAN menerima pakai Piagam ASEAN dalam Sidang Kemuncak mereka di Singapura pada November 2007 dan telah berkuatkuasa pada 15 Disember 2008. Piagam ini merangkumi prinsip asas, matlamat, objektif dan struktur kerjasama ASEAN; mengkanunkan kesemua norma, peraturan dan nilai ASEAN; memberi ASEAN suatu “keperibadian undang-undang”; menetapkan fungsi, dan meningkatkan bidang kecekapan anggota ASEAN yang utama serta hubungan sesama mereka. Piagam ASEAN merupakan satu dokumen penting bagi ASEAN untuk merintis langkah ke hadapan di dalam membentuk satu Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015.

Komuniti ASEAN 2015

Menjelang tahun 2015 , ASEAN telah menetapkan matlamat untuk membentuk satu Komuniti ASEAN. Tiga p elan induk utama meliputi politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya telah digubal dimana ia menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengintegrasikan rantau ini menjadi satu komuniti. Matlamat utama komuniti ini adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan keamanan dan kestabilan , mengukuhkan ekonomi, mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan di rantau ini.

Pelan Induk pertama yang digubal adalah Pelan Induk Ekonomi ASEAN yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 pada 20 November 2007 di Singapura untuk membimbing penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015. Manakala, Pelan Induk Politik-Keselamatan dan Sosio-Budaya telah diterima pakai oleh Pemimpin Tertinggi ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 pada 1 Mac 2009 di Cha-am/Hua Hin , Thailand.

Kerjasama dalam Bidang Ekonomi

Kerjasama dan integrasi ekonomi serantau ASEAN adalah sebahagian daripada usaha Negara Anggota bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar kemiskinan. Sumbangan ASEAN kepada keamanan serantau memupuk persekitaran stabil yang penting untuk pembangunan. Negara ASEAN juga belajar daripada satu sama lain dalam hal seperti latihan vokasional untuk generasi muda sebagai kaedah mengurangkan kadar kemiskinan.

Bagi merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community – AEC), 4 sasaran utama telah ditetapkan iaitu:

  1. mewujudkan ASEAN sebagai pasaran tunggal dan pusat pengeluaran;
  2. menjadikan ASEAN sebagai kawasan ekonomi yang berdaya saing;
  3. menjadikan ASEAN sebagai kawasan pembangunan ekonomi yang saksama ( equitable economic development ); dan
  4. memastikan ASEAN terus diintegrasikan dengan ekonomi global.

 

AEC akan dilaksanakan di dalam 4 fasa. Lebih 79.5% langkah-langkah di bawah Pelan Tindakan AEC telah dilaksanakan di bawah Fasa 1 hingga 3 dari 2008 hingga Julai 2013. Kini, ASEAN di dalam proses pelaksanaan Fasa Ke-3 (2012-2013) dan melengkapkan baki daripada langkah-langkah Fasa 1 dan 2. Fasa Ke-4 ialah daripada 2014-2015.

ASEAN mempunyai hubungan kerjasama dalam banyak bidang lain, termasuk perdagangan dan industri, kewangan, pengangkutan, telekomunikasi dan teknologi maklumat, pertanian dan perhutanan, tenaga, alam sekitar, pelancongan, pendidikan, kesenian dan kebudayaan, kesihatan, pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan, maklumat, sains dan teknologi, jenayah transnasional, pendidikan serta hak asasi manusia.

Hubungan Luar

ASEAN selaku persatuan antara kerajaan mengekalkan hubungan yang aktif dengan negara dan rantau yang penting baginya dan ahlinya. Hal ini dilakukan melalui mekanisme seperti Perkongsian Dialog, Sidang Kemuncak ASEAN+1, Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur dan forum dalam pelbagai bidang lain.

Rakan-rakan Dialog ASEAN adalah seperti China, Republik Korea, Jepun, India, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Kanada dan Rusia.

ASEAN mempunyai 5 perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan 6 rakan dialog , iaitu China, Jepun, Republik Korea , India, dan Australia dan New Zealand. Perjanjian-perjanjian ini bukan sahaja merangkumi liberalisasi tetapi juga kemudahan dan unsur-unsur kerjasama. ASEAN juga telah bersetuju untuk mewujudkan Rangka Kerja ASEAN mengenai Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau ( Regional Comprehensive Economic Partnership – RCEP) di mana ia akan menjadi panduan kepada negara-negara anggota ASEAN semasa rundingan dengan Rakan-rakan Dagang bagi memastikan kepentingan-kepentingan ASEAN diberi keutamaan.

Pada 1994, ASEAN mengundang pemerhati, Rakan Dialog dan rakan perundingnya untuk berhimpun secara tetap dalam Forum Serantau ASEAN (ARF). ARF memupuk keyakinan bersama dan menjelaskan pendirian berhubung isu keselamatan melalui perundingan dan dialog. Melalui aktiviti bersama, peserta ARF membina keupayaan untuk bekerjasama dengan cara yang praktikal.

Selain 10 Negara Anggota ASEAN, peserta ARF ialah Australia, Bangladesh, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Korea Utara, Korea Selatan, Mongolia, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Rusia, Sri Lanka, Timor Leste dan Amerika Syarikat.

Sekretariat ASEAN

Sekretariat ASEAN telah ditubuhkan pada Februari 1976. Premis sedia ada di Jakarta yang disumbangkan oleh Kerajaan Indonesia telah dirasmikan pada 1981.

Sekretariat ASEAN mengambil kakitangannya dari kalangan Negara Anggota ASEAN. Ketua Negara atau Kerajaan Negara Anggota ASEAN melantik Setiausaha Agung bagi tempoh lima tahun. Setiap Negara Anggota memberi sumbangan yang sama banyak untuk belanjawan mengurus Sekretariat.

ASEAN juga mempunyai cogan katanya yang telah dipersetujui bersama iaitu “Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti”. Bagi tahun 2013, Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN menggunakan slogan “ Our People, Our Future Together ”. Myanmar akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2014 dan seterusnya Malaysia pada tahun 2015.

Bagi memperingati peristiwa bersejarah penubuhan ASEAN, semua Negara Anggota ASEAN meraikan Hari ASEAN pada 8 Ogos setiap tahun.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang ASEAN, layari www.asean.org ,www.miti.gov.my dan www.kln.gov.my

 

%d bloggers like this: